MESEJ PRESIDEN
ROSNAWATI SALLEH
(ROSE J.R)
Pengasas & Presiden MBMUAA
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah S.W.T, Penguasa sekalian alam kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya MBMUAA telah pun sampai ke tahun kelima penubuhan. Pada awalnya, idea penubuhan MBMUAA ini tercetus daripada saya sendiri. Setelah mendapat galakan dari rakan-rakan seperjuangan yang lain dan seterusnya menerima sepenuh sokongan dari Mantan Penaung MBMUAA, “Iron Lady Malaysia” Allahyarham Datuk Wira Maznah Hamid, yang merupakan mentor saya, akhirnya saya berjaya menubuhkan persatuan ini.
MBMUAA ditubuhkan khusus untuk menyatukan semua Jurusolek Bumiputera di Malaysia untuk bersama-sama merealisasikan hasrat bagi memajukan dan memberi impak positif dalam profesion jurusolek di Malaysia. Dengan slogan “Kreativiti ke arah Usahawan Global”, objektifnya adalah untuk membimbing jurusolek Malaysia agar lebih berdaya saing serta meningkatkan kerjaya mereka yang terlibat dalam industri kreatif ini ke taraf usahawan berjaya.
Selaku Presiden MBMUAA, saya amat bersyukur diberi kepercayaan untuk menerajui persatuan ini dengan dibantu oleh barisan exco yang proaktif dan begitu komited. Kekuatan team kami adalah kepelbagaian kepakaran dan mempunyai rangkaian networking yang luas. Bersama-sama, kami berganding bahu membuat perancangan program mampan dan berimpak positif yang menjadi pemangkin untuk memperkasakan ahli MBMUAA sebagai seorang usahawan.
Sejak Pandemic Covid-19 melanda pada awal tahun 2020, dunia telah mengalami perubahan yang drastik dan industri kecantikkan atau industri kreatif juga secara tidak langsung telah terkesan. InsyaAllah, pada Tahun 2021, industri ini akan kembali rancak dengan formula dan strategi baru di mana urusan perniagaan ke arah Digitalisasi. Pelbagai program ilmu dan pemberdayaan telah dirangka khusus untuk ahli MBMUAA bagi memastikan mereka mendapat manfaat daripada ekonomi digital dan seterusnya mampu menjana pendapatan melalui platform secara atas talian.
Saya juga menyeru kepada semua agar bersama-sama berganding bahu memberi kerjasama dan menyumbang tenaga, idea dan kepakaran masing-masing untuk dimanfaatkan kepada semua yang memerlukan. Sesungguhnya kita semua memerlukan semangat yang kuat dan usaha yang gigih dari segenap sudut sekiranya ingin melakukan transformasi diri dan perniagaan yang kita ceburi. Hal ini adalah selaras dengan anjuran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud : “ Sebaik-baik manusia diantara kamu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan exco tahun 2021 – 2023. Semoga kita terus bergerak maju kehadapan dalam mencapai misi dan visi MBMUAA. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga buat exco penggal lepas yang banyak memberikan sokongan dalam bentuk tenaga, idea, masa mahupun material kepada MBMUAA. Harapan saya, semoga Persatuan MBMUAA ini akan terus kekal relevan sampai bila-bila, bukan sahaja sebagai tempat semua jurusolek bergabung malah sebagai satu persatuan yang menyokong pemerkasaan agenda ekonomi negara.
Salam Aspirasi,
ROSE JR